Thursday, August 26, 2010

Menjadi Jujur : Siri Dua point Lima (2.5)

Prolog

situasi depan komputer, dalam Cyber Cafe. saya tengah melayari laman Web Bank Negara Malaysia.

saya baru sahaja kecewa sebab tak sempat mohon tempat di Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebab tarikh tutup permohonan baru saja tamat. pukul 5 petang tadi.

Demi membalas dendam terhadap UTP saya cuba nak mohon BNM. dalam hati saya bergumam
"Padan muka kau UTP, tak nak aku sangat."
lepas itu ada suara lain berbisik dekat saya
"macam lah BNM nak sangat"


***

entri ini adalah sambungan "Menjadi Jujur : Siri Dua". 

temuduga individu tu berlangsung selama 20 minit. jadi, sempatlah ada sesi berbasa-basi selama 5 minit sebelum kena ceramah dengan wanita korporat tu (jangan baca "wanita keparat" tau, tak baik) selama 15 minit selepas itu.

Babak 1

"jadi, apa keistimewaan awak ?"
"saya seorang yang berani. suka tampil di depan khalayak ramai"

lelaki berkumis tu belek-belek fail sijil saya. selepas tak bertemu dengan apa yang dicari dia bertanya

"berpidato? berbahas? "
"err, menyanyi.. "

Babak 2

"apa yang awak akan buat bila menghadapi masalah? bagaimana awak mengawal tekanan emosi ? "
"saya akan buat perkara yang boleh menggembirakan hati saya, dengan itu saya boleh lupakan masalah buat seketika"

wanita korporat (bukan keparat tau, tak baik) itu kelihatan berbincang dengan seorang lagi lelaki berkumis dan bertanya

"awak cuba lari daripada masalah? "
"oh bukan, cuma lupakan seketika"

"apa perkara yang boleh menyebabkan awak lupa masalah? selesaikan soalan matematik ? " sambil ketawa kecil
"err, saya menyanyi"


Babak 3

"Apa yang awak boleh katakan tentang matematik? kenapa ia jadi pilihan awak ?"

saya diam sekejap.

***

Epilog

"apa aku nak mohon ni?". dalam laman web BNM tiada satu pun yang berkenan dengan hati saya. saya cuba cari engineering. adalah satu
Kejuruteraan Kewangan

"layan sajalah. bukannya dapat pun." gumam hati saya.

maka saya buat 2 pilihan
MATEMATIK - United Kingdom
IT - Australia

***

sambungan Babak 3

sampai hari ini saya rasa nak terjun daripada tingkat 17 bila teringat apa yang saya jawab.

tak sanggup nak bagitahu, tapi yang boleh saya cakap ia berjayalah menukar wanita korporat itu jadi singa betina.




lagi sekali saya pinta jangan baca wanita keparat.

Wednesday, August 25, 2010

Bejat.

Bila pura-pura ini akan bernoktah?


- Ditaip menggunakan iphone

Tuesday, August 24, 2010

Menjadi Jujur : Siri Dua


Bila dah naik tingkatan empat, saya jadi pandai sikit sebab dapat masuk MRSM Taiping. Masa tu nama MRSM Taiping ni macam sangat gah la juga. Macam budak kepala geliga yang kalau kita tanya fakta sejarah siap boleh bagitahu muka surat berapa, ayat mana, perenggan mana, muka surat tu warna apa pun ingat ,berpusu-pusu lah nak masuk MRSM Taiping.

Tapi kalau tak pandai macam manapun, maksudnya  tak pandai jenis macam percubaan PMR Geografi dapat C, Sejarah D, dan bahasa Inggeris tak pernah dapat A kecuali untuk peperiksaan UPSR, bila Allah takdirkan untuk dapat MRSM Taiping, dapat juga kan?

kredit untuk kawan saya yang kini belajar di mesir kerana jasa beliau memberi saya meniru jawapan untuk kertas dua peperiksaan Sejarah(termasuk kertas objektif sekali). dan Geografi. dan Sains. dan sedikit Bahasa Inggeris.


Kalau saya cakap otak budak MRSM Taiping ni berat macam sauh kapal percaya tak?

Agak kejutan budaya lah seminggu-dua masuk sekolah ni. Sorang-sorang kalau boleh semua gaya nak makan buku. baru 9 saat kelas persediaan bermula, mulut sekor-sekor dah terkumat-kamit hafal fakta biologi macam baca mentera. mata tu tak henti-henti menjilat muka surat, kalau boleh saiz tulisan dan jenis tulisan apa pun nak hafal. lagi kejutan budaya bila keluar saja keputusan semester pertama, tengok nama sendiri termasuk dalam 10 teratas.

wadehel?

Semua belajar bagai nak rak bukan apa, sebab nak kejar biasiswa lah, nak ambil kos pelik-pelik. jadi keputusan SPM nanti kena gempak habis. Saya ni jenis ikut orang. orang minta MARA, saya minta. orang minta PETRONAS saya minta. orang minta JPA pun saya nak minta. orang minta Bank Negara Malaysia(BNM), saya cakap "kau gila ke?"

masa masih belajar di MRSM Taiping, siapa2 yang dapat biasiswa BNM macam otak geliga tahap nirvana habis lah. kami disogok-sogok dengan gosip liar. sebab tu bila kawan saya cakap nak minta biasiswa bank saya cakap dia gila. 


Tapi tetaplah kan, kalau takdir dah tulis yang kau akan dipanggil temuduga BNM, nak buat macam mana.


Masa tu, otak saya dan jiwa saya dah bersatu dengan kos Chemical Engineering di bawah tajaan MARA. maka bila BNM panggil interview saya buat bodoh saja. ini memang betul-betul buat bodoh. pergi temuduga bawa kepala dungu saja.


masa tengah kumpul2 dalam satu bilik tu, saya dah seram sejuk tengok muka sorang2 macam Albert Einstein ada,  macam Isaac Newton ada. macam biasalah bila baru jumpa, tanyalah nama sekadar nak berbasa-basi. tiba-tiba saya pergi tanya soalan ni
"kenal Mawi,Akademi Fantasia 3 tak? "

semua buat muka tegang. nasib baik ada seorang mencelah
"Akademi Fantasi tu apa? "
di situ saya dah nampak saat-saat kegagalan saya untuk temuduga ini.


Tiba saat temuduga individu. dengan 3 pengarah jabatan BNM. 2 lelaki berkumis, seorang wanita korporat duduk depan saya. bila dah tamat sesi berbasa-basi tiba-tiba wanita korporat itu dengan tegasnya bertanya
"What do you know about Bank Negara Malaysia?"

mampus. sejujurnya saya memang tak tahu. tak tahu langsung. maka sebagai bekas pelajar MRSM Taiping, antara jawapan "I don't know " atau goreng-goreng sikit, saya rasa saya ada bakat menggoreng.


"well, It acts like a normal bank. public bank". 
wanita korporat dah buat muka menyinga. tiba-tiba salah seorang lelaki berkumis tu mencelah 
" you mean, public bank where we open our bank account and save money?"
dalam hati saya lega sebab pakcik ni tolong huraikan untuk saya. saya dengan penuh yakin jawab



"YES"


15 minit yang seterusnya, saya sekadar tadah telinga dan senyum-senyum kelat mendengar "ceramah" daripada wanita korporat itu.











Monday, August 16, 2010

Menjadi Jujur : Siri Satu

Setelah bertapa selama 6 hari, saya ambil keputusan untuk tulis post pendek saja sempena Ramadhan penuh berkat ini. Ya, saya tahu anda semua pun mahu baca post pendek-pendek kan? sebab mahu kejar waktu solat tarawikh semua. bagus-bagus.

masih ingat saya sebagai produk gagal bola sepak?

sungguhpun begitu, saya tidaklah sampai tengok orang main bola pun muntah-muntah. loya ke. tidak. sekadar bukan dalam bidang saya.
dulu saya budak baik. dekat mrsm dia ada dua jenis muka. muka minta penumbuk dengan muka biasa-biasa. jadi, saya kategori muka biasa-biasa, syukur.

tapi kadang-kadang kena juga suruh pergi ambil air masak isi dalam botol dekat dewan selera. main suruh-suruh paksa-paksa ni saya tak suka. maka kadang-kadang saya ludah-ludah dalam air masak mereka. padan muka.

dihari baik bulan baik ini, saya mohon maaf kepada siapa yang pernah terkena jampi serapah ludah-pudah saya emm.


dulu, ada pernah sekali, mrsm saya anjurkan pertandingan bola sepak inter-class. maksudnya macam mana bangku kerusi pun kaki kau, kau kena juga sertai sebab satu kelas lelaki ada berapa ekor saja. maka dengan penuh gigihnya saya menerima pelawaan untuk bermain sebagai sayap kiri. cewah.


bila orang yang macam saya ni turun padang, ramai mahu saksikan tahu. bukan calang-calang orang boleh tengok saya beraksi ganas di padang. betul. saya ganas sungguh.

5 minit permainan pihak lawan dah dapat sepakan percuma sebab saya tolak pihak lawan sampai tergolek jatuh. saya bukan sengaja. tengah laju kot lari kejar bola, main bola pakai kasut jogging, mana tak licin?
lepas itu saya kena tolak masa tengah syok gelecek bola. tergolek saya jatuh sampai berguling-guling dua tiga kali. bila bangun saya angkat ibu jari tanda ok.

padahal berpinar juga mata. konon gagah.


jujur saya cakap, saya memang baik. tak suka menipu.

masa tu tinggal berapa minit perlawanan nak habis, masih terikat 1-1. saya tengah jaga bahagian kiri. ada perebutan bola yang sangat sengit di bahagian kotak penalti. saya bertindak hero pergi join sekali. saya betul-betul depan pintu gol bila tiba-tiba pihak lawan sepak bola terus ke gawang gol. masa itu ramai gila orang depan pintu gol, macam lalat hurung tahi lembu.


orang bersorak sorai sebab bola tak masuk gol. bola terkena saya. semua orang macam kagum sebab saya berjaya tangkis bola. tiba-tiba saya jerit



"ref! bola kena tangan saya tadi !"




akhir kata, kelas kami kalah. selamat berpuasa !

Tuesday, August 10, 2010

entri pendek sebelum puasa

dah lebih sebulan rupanya saya dah balik Malaysia. mana nak sedarnya hari-hari duk ulang-alik pergi hospital saja. mak saya cakap hospital dah macam rumah kedua. selang satu hari jumpa doktor. hari-hari kena cucuk dah rasa macam satay.

selama sebulan lebih ini merasa juga saya perasaan macam mana jadi anak tunggal.

teruk. sumpah.
***

anda tahu apa beza malaikat dengan setan. kalau nak lebih faham, baca mesej di bawah


1.kawan satu
saya : hidup aku bosan
kawan saya : pergilah keluar. dok masjid ke dgr kuliah2 maghrib dan subuh. Heh. Nak best lagi dgr kuliah tok guru ke.



2.kawan dua
saya : ok basically apa yang aku nak sampaikan , kenapa hari ni hati aku bergundah gulana ha? Gelisah tanpa sebab . Haish
kawan saya : biasale setan n kerabat die mmg tgh gundah gulana skrg coz lusa dh nk puasa






Sunday, August 8, 2010

cerita seorang ayah

hari itu bertarikh 13 mei 1998, umur anak dia baru  9 tahun. dia memiliki anak anak lelaki 5 orang dan semua dilatih supaya minat bola. anak perempuannya yang seorang pun ganas, macam lelaki. maka hari jadi anaknya yang kelima ini, dia bagi sebiji bola sepak getah sebagai hadiah hari jadi.

12 tahun lepas itu, anak dia jadi produk gagal bola sepak.


hari jadi tahun 1999 anaknya merengek-rengek mahu makan ayam goreng crispy Mc Donald. baru keluar iklan. yalah, hari-hari asyik tatap televisyen tengok Dragon Ball, Power Rangers, Sailormoon mesti ada selit-selit iklan ayam goreng crispy Mc Donald yang menggoda itu.

petang itu, ayahnya membonceng anaknya menaiki motorsikal honda lampu bulat pergi ke restoran Mc Donald di bandar. waktu itu, masih tiada kereta. budak itu diletak di bahagian hadapan, dalam bakul. selesai membeli, anaknya merajuk sebab ayah kata tak boleh makan dalam kedai Mc Donald, sebab nanti harga dia mahal. anaknya akur. ayah ajak pergi makan dekat tempat yang lagi istimewa.

5 minit naik motor, ayah berhenti depan kedai kopi.


kalau waktu maghrib, ayah ini memang larang anak dia tengok tv. dihambatnya semua pergi solat maghrib. kalau masih ingat, pukul 7 sampai 8 malam itulah ada rancangan kartun yang menarik! bila ayahnya masuk mandi dalam bilik air, budak-budak ni pergi buka tv. mak bagi buka. mak subahat sekali.

sebab takut ayah dengar, mereka rendahkan suara tv sampai kosong.

ada satu hari waktu maghrib, ayah buka tv. semua tergamam. rupanya waktu itu ada siaran langsung piala dunia. sampai sekarang, anaknya yang sulung berdendam.


anak dia yang produk gagal bola sepak ini minat benda lain. 4 orang anak lelakinya, kalau balik sekolah saja mesti duk gebang pasal kehandalan main bola. ayah pula layanlah. bukan main seronok mereka bersembang. kadang-kadang sampai 7 8 kali diulang cerita yang sama. bola. bola. bola.

"ayah, minggu lepas menang pertandingan nasyid. jadi solo nyanyi lagu arab"
"ok"

"ayah, bulan lepas main bola tampar menang. boleh pergi peringkat daerah"
"ok"

"ayah, hari itu menang jogathon, nombor 3 daripada beratus-ratus orang"
"ok"

"ayah, hari itu pergi bertanding kawad kaki peringkat negeri, menang nombor 2"
"ok"


bila anak dia dah besar, anak dia dapat pergi luar negara. bukan main gembira lagi dia. antara pesanan saat-saat akhir sebelum mereka berpisah
"nanti bila dah sampai, carikan kasut Clark yang bentuk macam ni ya"


semalam, 7 ogos 2010, anak dia kebosanan duduk di rumah. mak dia tak berapa sihat. selalunya beli nasi bungkus untuk makan malam. tapi semalam anak dia macam beriya-iya nak tunjuk skil memasak dekat ayahnya. yalah, setahun duduk luar, mestilah boleh masak sikit-sikit.

bukan main gigih budak itu masak. semangat ni. siap hias-hias cantik. katanya, persembahan tu penting. budak itu masak ayam masak lada hitam. lepas siap, ayahnya masuk dapur, bertanya anak dia.

"masak apa?"
"ayam masak lada hitam ayah"
"oh ayah tak makan benda2 macam ni"

eh?

lepas tu ayah dia rasa.




"hmm, goreng telur mata kerbau 2 biji lah"